Thursday 12 April 2012

Q&A : Merisik atau Nazhor Dalam Islam



Nazhor ( Melihat /Merisik) نظر

Soalan :   Apakah itu nazhor ?

Jawapan : Nazhor dari sudut bahasa bermakna memandang, atau 
                 melihat, atau meneliti.
                  Adapun dari sudut fiqh, nazhor ialah perbuatan melihat,
                 merisik dan meneliti oleh seseorang   yang sudah berazam
                 untuk berkahwin kepada seseorang yang ingin 
                dijadikannya pasangan  hidup.


Soalan :     Sebutkan ciri-ciri nazhor?

Jawapan : -Dibenar melihat berulang kali sekalipun lebih dari tiga kali .
-Jika selepas nazhor itu, ternyata yang dilihat itu tidak 
membuatkannya tertarik,maka tidak dibolehkan berkata:
 “Saya tidak mahu kepadanya.” 
Ianya supaya tidak ada mana-mana pihak yang terguris 
atau sakit hati.
-Juga dibenarkan berbual-bual dan mendengar suara pasangan bagi menguatkan lagi keinginan untuk melamar.
                    -Nazhor dilakukan sebelum pertunangan atau lamaran.


Soalan :    Apakah hukumnya?

Jawapan : Hukumnya ialah sunat, jika dilakukan sebelum pertunangan.
Adapun nazhor selepas pertunangan, maka ianya adalah harus sahaja.Ini kerana selepas pertunangan, jika terjadi keadaan dimana salah satu pasangan tiada berkenan hatinya akibat nazhor dan bertindak memutus pertunangan, maka akan menyebabkan pihak keluarga yang ditolak berkecil hati.

Soalan :     Sebutkan dalil yang menjadikan nazhor itu 
            sunat?

Jawapan : Ianya adalah berdasarkan hadith Rasulullahi sallallahualaihi 
                 wasallam yang bermaksud :

"Apabila seseorang dari kamu ingin melamar seorang wanita,
maka tiadalah menjadi dosa bahawa dilihat olehnya akan
wanita itu, sekalipun wanita itu tidak mengetahuinya."

Dan daripada Mughiroh ibn Syu'bah radhiallahu anhu katanya :"Daku telah melamar akan seorang wanita dari kalangan Ansor , maka daku khabarkan akan yang demikian kepada Rasulullahi sollallahu alaihi wasallam."Lalu Rasulullahi sollallahu alaihi wasallam pun bertanya padaku  :" Adakah kamu telah melihat wanita itu ?" "Belum ya Rasulullah." jawabku. Rasulullahi sollallahu alaihi wasallam pun bersabda  :"Lihatlah wanita itu kerana  ia akan lebih mengekalkan kasih sayang dan kemesraan."Daku pun pergilah kepada keluarganya, dan daku pun menceritakan perintah Rasulullahi sollallahu alaihi wasallam itu kepada dua ibu bapanya. Saling  berpandanganlah mereka (tanda tidak setuju ),kemudian daku bangun dan ingin beredar.Berkatalah wanita itu :"Wajiblah atasku menuruti permintaan lelaki ini."Daku berdiri berhampiran tabirnya, lalu dia berkata: "Jika Rasulullah sollallahu alaihi wasallam yang memerintahkan dikau melihat kepadaku,maka lihatlah. Jika tidak, maka daku juga keberatan membiarkan dikau melihatku." Setelah  melihatnya daku lalu mengahwininya. Dan tiadalah daku pernah mengahwini mana mana wanita yang lebih daku kasihi selain darinya, tiada wanita yang lebih mulia pada pandanganku selain darinya. Sedang daku telah mengahwini wanita seramai tujuh puluh orang."

Soalan :     Bahagian tubuh manakah yang disunatkan
           melihatnya bagi kedua-dua lelaki dan 
           perempuan?

Jawapan : Sunat melihat bahagian tubuh yang bukan aurat, yakni 
                 bahagian yang tidak wajibditutup di dalam solat.
                 Adapun bahagian aurat maka haram melihatnya.
Maka lelaki dibenarkan melihat perempuan pada 
bahagian muka dan dua tapak tangan sahaja 
( depan dan belakang ).
Adapun perempuan, maka dibenarkan melihat lelaki 
pada seluruh tubuhnya selain dari bahagian yang berada 
di antara pusat dan lutut.

Soalan :     Apakah rahsia  lelaki diperintahkan 
           melihat  muka dan dua tapak tangan 
           seorang wanita?

Jawapan : Dengan melihat muka, maka dapat diketahui kecantikannya.
Dengan melihat dua tapak tangan , dapat diketahui kehalusan tubuh badan seseorang wanita ( kurus atau berisi, dilihat pada jarinya. Kuat bekerja atau tidak, dilihat dari kasarnya tapak tangan, dan lain-lain faedah.).

Soalan :     Apakah syarat yang menjadikan 
            nazhor itu halal?

Jawapan : -Mestilah nazhor dilakukan setelah kuat keazamannya 
                   untuk berkahwin, jika dilakukan sebelum darinya maka 
                   haram.
-Nazhor dilakukan setelah yakin wanita yang akan dinazhor itu bebas dari sebarang ikatan pernikahan dan  ‘iddah cerai ( atau ikatan pertunangan dengan orang lain ).
-Nazhor dilakukan setelah kuat firasat dan sangkaan bahawa wanita itu tidak akan menolak lamarannya jika ia melamar. Adapun jika tiada kuat keyakinan bahawa  lamarannya akan diterima,maka tiada harus nazhor yakni haram.
-Mestilah ditemani mahram atau keluarga supaya tiada timbul fitnah berlakunya zina.

Soalan :     Bolehkah mewakilkan orang lain 
            untuk melakukan nazhor bagi diri kita?

Jawapan : Ya, dibolehkan. Kerana kadangkala, seseorang itu tidak 
                 mahu melakukan nazhor kerana beberapa faktor. 
                 Antaranya,sukar membuat pilihan sendiri, tidak 
                  mempunyai kelapangan, mempunyai masalah penglihatan
                 dan sebagainya. Maka dihantarnya seorang perempuan 
                 dari pihak keluarganya ( mahram ) untuk melakukan nazhor 
                 bagi pihaknya.

Ianya diharuskan kerana Rasulullahi sallallahualaihi wasallam sendiri pernah menghantar seorang wanita untuk melamar seorang wanita lain bagi pihak baginda. Lalu wanita itu disuruh untuk melakukan nazhor bagi pihak baginda dan menceritakan apa yang dilihatnya kepada baginda sallallahualaihi wasallam.

Soalan :     Seorang yang buta tidak boleh melakukan 
            nazhor untuk dirinya sendiri, lalu bolehkah
           dia menggunakan tangan untuk menyentuh 
           muka dan dua tapak tangan wanita atau
           lelaki yang ingin dilamarnya, sebagai 
           alternatif kepada melihat?

Jawapan : Tidak harus sama sekali demikian, kerana dibolehkan 
                  menghantar wakil untuk  menyifat dan memberikan 
                  gambaran  yang dikehendaki untuk dirinya. Lalu tidak 
                  timbul langsung keperluan untuk menyentuh dan 
                  memegang.

 Sekian.
Ringkasan mengenai nazhor dari kitab I'aanatuth Tholibin, bab nikah, jilid 3.

 p/s: Disini tidak disebutkan hukum melihat hamba lelaki atau perempuan , tujuannya supaya lebih ringkas.Juga istilah nazhor disini ialah yang berkaitan dengan pernikahan, tidak menyentuh istilah usul atau lainnya.


Baca Seterusnya "Q&A : Merisik atau Nazhor Dalam Islam"